Saturday, 27 October 2012

Putera kami

Hari ini, 27 Oktober 2012 bersamaan 11 Zulhijjah 1433 Hijrah, lahirlah putera sulung kami ke muka dunia ini. Alhamdulillah, kedua-duanya selamat walaupun Sha terpaksa melahirkan bayi kami secara pembedahan. Hasil perbincangan dan pencarian beberapa bulan dulu, kami akhirnya memilih untuk menamakan buah hati kami ini, Ayyar Sufi. 

Ayyar Sufi bin Mohd Azraie

Kalau sebelum ini kami hanya mengembara berdua, kehadiran bayi kami ini pasti memberi lebih erti kepada pengembaraan kami selepas ini. Semoga dia dikurniakan tubuh yang sihat, akal yang cerdas, soleh serta beriman. Tak sabar nak mengembara bertiga pula selepas ini, hurm... :)

Friday, 26 October 2012

Inspirasi: Berjalan kaki dari Bosnia ke Mekah

Senad Hadzic
Kesempitan wang bukan halangan kepada seorang lelaki Bosnia untuk menunaikan ibadat haji. Demi menunaikan rukun Islam kelima tersebut, Senad Hadzic, 47, sanggup berjalan kaki sejauh 5,900 kilometer dari kampung halamannya, Banovici, sebuah kawasan di bahagian utara Bosnia Herzegovina dengan berbekalkan 200 euro ke Arab Saudi.

Perjalanannya bermula sejak Disember tahun lalu dengan merentasi enam buah negara termasuk Turki, Jordan dan Syria.

Menurut Senad, masjid, sekolah serta rumah-rumah penduduk kota yang disinggahinya menjadi tempat penginapannya di sepanjang perjalanan.

"Orang yang saya temui semuanya baik-baik belaka, mereka menawarkan tempat tinggal kepada saya.

"Ada yang bertanya, adakah kamu tidak takut ketika melalui kawasan hutan? Saya memberitahu mereka, kenapa saya harus takut? Allah sentiasa bersama saya," katanya.

Al-Quran yang dibawa bersama di dalam beg galasnya, menjadi pelindung di sepanjang perjalanan. Senad turut membawa peta dan bendera enam buah negara yang dilewatinya.

Senad ketika melalui satu kota dalam perjalanannya ke Mekah
"Ada seorang tua bijaksana Turki yang apabila mengetahui saya datang dari Bosnia ke Istanbul dengan berkalan kaki, dia ingin memberikan saya wang supaya saya dapat menaiki kapal terbang ke Mekah. Namun saya menolaknya," katanya yang begitu menghargai kebaikan orang-orang asing yang ditemuinya sepanjang perjalanan.

Semasa di Serbia, ujarnya, ada seorang profesor yang mempelawa untuk menginap di rumahnya. Profesor beragama Kristian itu memberitahu bahawa Senad merupakan muslim pertama yang melangkah ke dalam rumah tersebut.

"Ia adalah satu penghormatan kepada saya," kata Senad.

Di Istanbul, dia terkandas selama 20 hari kerana Jambatan Bosphorus yang menghubungkan Turki (Eropah) ke Anatolia (Asia) yang hendak diseberanginya, hanya dibuka untuk kenderaan. Tiada pilihan lain, dia terpaksa berusaha meminta kebenaran untuk melaluinya dengan berjalan kaki.

Malah ketika melalui Syria yang sedang bergolak, dia terpaksa berdepan dengan maut apabila mengalami sendiri pengalaman peluru bersimpang-siur.

"Saya tidak takut kereta kebal atau peluru, saya hanya takut kepada Allah. Apabila saya sampai di Mekah nanti, saya akan berdoa untuk kedamaian kita semua," katanya.

Senad akhirnya sampai di Mekah pada 20 Oktober lalu selepas 314 hari meninggalkan kampung halamannya.

"Saya tidak berasa penat, ini adalah hari terbaik di sepanjang hidup saya.

"Pengalaman paling berharga yang saya dapat ialah mempelajari erti berterima kasih dan bersyukur dengan apa yang ada," katanya.

Senad menadah tangan memanjatkan kesyukuran
ketika tiba di kota Mekah
Mungkin inilah pengertian sebenar pengorbanan buat Senad. Demi menunaikan ibadat haji, dia sanggup berkorban keringat, masa, wang, malah nyawa juga. Manisnya pengorbanan itu apabila ia dibalas dengan peluang menjadi tetamu Allah di hadapan Kaabah.

Semoga kisah Senad memberi kita satu keazaman yang kuat dan memahami erti pengorbanan yang sebenar sempena musim haji dan perayaan korban ini. Selamat menyambut Aidiladha!

Tuesday, 8 May 2012

Destinasi: Amfiteater El Djem, Tunisia

Amfiteater El Djem

Salah satu arena terbesar yang dibina semasa zaman Empayar Rom boleh ditemui di El Djem, Tunisia. El Djem, atau dalam bahasa Latin, Thysdrus, merupakan penempatan orang-orang Rom yang masih kekal di benua Afrika.

Arena inilah yang menjadi tempat pertunjukan gladiator dan
perlumbaan kereta kuda.
Dengan kelebaran 120 meter dan panjang 150 meter, amfiteater itu yang mengambil masa selama lapan tahun untuk dibina bermula dari tahun 230 hingga 238 masihi (abad ke-3) boleh memuatkan 35,000 orang atau penonton dalam satu masa.

Ia dibina bagi tujuan pertunjukan Gladiator dan perlumbaan kereta kuda (chariot races). Gladiator adalah pahlawan yang menghiburkan para penonton di amfiteater El Djem dengan pertunjukannya bertarung dengan gladiator-gladiator lain atau haiwan-haiwan liar yang ganas seperti harimau dan singa.

Di setiap tingkat arena yang berbentuk seperti stadium itu mempunyai 64 buah pintu gerbang atau ruang seperti tingkap. Ia membolehkan cahaya matahari memancar ke segenap sudut di amfiteater tersebut. Bahan binaannya pula terdiri daripada blok-blok batu yang diperbuat daripada tanah dan pasir.

Antara corak mozaik yang boleh dilihat
di amfiteater El Djem
Sebahagian besar arena itu runtuh apabila ia menjadi mangsa letupan penakluk Turki, Mohammad Bey pada tahun 1695. Kesan runtuhannya masih boleh dilihat sehingga sekarang. Namun begitu, ada juga yang berpendapat bahawa amfiteater tersebut sebenarnya memang tidak pernah siap dibina.

Walaupun sebahagian besar strukturnya rosak, namun mitos tentang gladiator contohnya masih terus hidup. Ia jelas boleh dilihat pada dinding mozaik di laluan-laluan dalam bangunan tersebut.

Ramai sebenarnya yang keliru di antara amfiteater El Djem ini dengan amfiteater di Rome, Itali yang digelar Colosseum. Kedua-dua bangunan ini dibina bagi tujuan sama oleh Empayar Rom namun saiz Colosseum lebih besar berbanding amfiteater El Djem. 

Selain di El Djem dan Rome, ada lapan lagi amfiteater milik Empayar Rom yang masih wujud sehingga sekarang.

Thursday, 12 April 2012

Sunnah nabi ketika bermusafir

Berikut adalah sunnah-sunnah nabi ketika bermusafir seperti yang disebut dalam salah satu siri program Fattabiouni di TV Alhijrah:

1) Niat dan tujuan bermusafir mestilah baik.

2) Sebelum bertolak atau keluar dari rumah, kerjakanlah solat sunat dua rakaat.

3) Nabi lebih suka bermusafir pada hari Khamis. Baginda tidak suka bermusafir pada hari Jumaat kerana dikhuatiri terlepas Solat Jumaat.

4) Nabi juga menggalakkan kita memulakan perjalanan pada waktu malam. Selain perjalanan menjadi lebih mudah, jarak juga terasa lebih singkat jika bermusafir pada waktu malam.

5) Bawa bersama beg kecil untuk mengisi barangan keperluan asas. Nabi ketika bermusafir sering membawa siwak, sikat, cermin, celak dan kayu wangi yang dipanggil Al-Midra.

6) Ucap selamat tinggal kepada keluarga dan memohon perlindungan daripada Allah SWT.

7) Minta pada sesiapa untuk doakan kesejahteraan kita. Nabi sendiri meminta para sahabat mendoakan untuknya.

8) Apabila keluar rumah, baca Bismillah.

9) Apabila mula menaiki kenderaan, berdoalah dan sentiasa berzikir.

10) Sunat bermusafir secara berkumpulan. Salah seorang perlu dilantik menjadi ketua agar perjalanan menjadi lebih tersusun dan teratur.

11) Bertakbir ketika naik ke paras yang tinggi dan bertasbih ketika turun ke paras rendah. Seperti contoh, apabila kapal terbang berlepas dan mula terbang, ketika itu bertakbirlah. Manakala ketika ia mula turun, bertasbihlah.

12) Mendengar nyanyian (nyanyian musafir/Al-Huda) juga digalakkan. Nabi gemar mendengar nyanyian ketika dalam perjalanan kerana ingin menghidupkan suasana yang ceria dan baik.

13) Setiap kali memasuki sesuatu kawasan atau sesebuah negara, berdoalah kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan.

14) Bawa hadiah ketika pulang daripada bermusafir untuk ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan.


Insyaallah, dengan mengamalkan sunnah-sunnah tersebut, perjalanan yang dilalui pasti menjadi lebih luar biasa serta dipenuhi dengan pelbagai manfaat dan keberkatan.

Wednesday, 4 April 2012

Filem: 5 filem travel yang memberi inspirasi

1. Into The Wild (2007)

Filem ini diadaptasi daripada kisah benar seorang pemuda bernama Christopher McCandless yang ditemui mati di dalam sebuah bas lama (magic bus) di sebuah kawasan belantara di Alaska pada September 1992. Kisahnya bermula apabila dia mengambil keputusan untuk mengembara dan meninggalkan segala kesenangan hidup serta keluarganya. Dia keluar tanpa wang ringgit. Wang simpanannya $25,000 didermakan kepada sebuah badan kebajikan, baki wang tunai yang masih ada dibakar dan kad kreditnya dipotong dengan gunting. Dengan hanya membawa kelengkapan diri yang dimuatkan di dalam 'backpack', dia pun memulakan langkah dari Virginia, Washington D. C. ke Alaska dengan menggunakan nama baru, Alexander Supertramp. Antara plot menarik di dalam filem ini adalah semasa dia menghabiskan sisa-sisa hidupnya (dia ketika itu nazak kerana termakan tumbuhan beracun) di dalam sebuah bas lama yang dijadikan tempat tinggalnya sehinggakan bas itu digelar 'magic bus' sehingga kini.

2. The Art Of Travel (2008)

Conner Layne memulakan pengembaraannya dengan berbulan madu secara solo selepas dia meninggalkan majlis perkahwinannya kerana mendapati tunangnya berselingkuh dengan sahabatnya sendiri. Dia yang ketika itu masih naif tentang dunia pengembaraan, membawa diri ke Nicaragua, sebuah negara di Amerika Tengah yang merupakan bekas jajahan Sepanyol. Pertama kali tiba di negara asing, banyak masalah yang timbul. Di situ dia mengalami pelbagai pengalaman perit sebagai orang baru dalam dunia pengembaraan seperti ditipu, dirompak, berhadapan budaya jenayah kecil dan kemudahan-kemudahan yang tidak memberikannya keamanan. Lama-kelamaan dia mula dapat menyesuaikan diri, pengalaman memberinya ilmu yang berharga. Antara petikan menarik dalam filem ini adalah, "... I have so much left to do for myself. And if i don't go and seek that out, maybe i'd end up regretting it for the rest of my life".

3. The Way (2010)

Kisah seorang bapa, Thomas Avery yang menjejak semula perjalanan anaknya yang mati terbunuh dalam tragedi ribut di banjaran Pyrenees semasa membuat ekspedisi Camino de Santiago (The Way of St. James). Thomas pada mulanya hanya berhasrat untuk ke Sepanyol bagi menuntut mayat anaknya, namun dia kemudiannya terfikir untuk mengikuti semula jejak yang dilalui anaknya untuk merasai sendiri pengalaman dan apa yang difikirkan anaknya itu. Dalam perjalanan klasik Camino itu, Thomas berjumpa dengan beberapa individu yang sama-sama mencari erti kehidupan dengan pengembaraan yang akhirnya menjadi rakan kembara (travel mate) kepada pakar mata itu.

4. Last Stop For Paul (2008)


Charlie begitu sukakan pengembaraan dan sentiasa mencari jalan termurah (bajet) untuk pusing satu dunia. Manakala sahabatnya, Cliff sentiasa mencari alasan untuk tidak berjauhan dengan rumahnya dan apabila dia berjanji untuk mengikuti Charlie keluar mengembara, dia tidak pernah menepatinya. Bagaimanapun, satu hari Charlie mengajak Cliff untuk ke parti bulan penuh yang diadakan setiap bulan di Ko Pha Ngan, Thailand.  Kali ini Cliff tidak dapat menolak. Dia mahu memenuhi hasrat seorang rakan lamanya yang baru meninggal dunia, Paul untuk menjelajah dunia. Cliff mahu memberi penghormatan kepada rakannya itu dengan menabur abu mayatnya di empat sudut dunia (the four corners of the earth) iaitu Amerika (barat), Eropah (utara), Asia (timur) dan Afrika (selatan). Dalam msa dua minggu sebelum parti itu bermula, Charlie dan Cliff menjelajah ke beberapa negara dan menimba pengalaman yang berharga selain tidak lupa menaburkan sedikit abu mayat Paul di setiap hentian mereka.

5. A Map For Saturday (2007

Filem dokumentari arahan sendiri oleh Brook Silva-Bragga ini memaparkan kisah menarik tentang dirinya ketika mengembara ke Australia, Asia Tenggara, India, Nepal, Eropah dan Amerika Selatan selama setahun. Produser di rangkaian televisyen HBO itu sanggup meninggalkan kerjayanya demi menimba ilmu di dunia yang lebih luas di luar sana. Filem itu memaparkan tentang para backpacker yang perihatin dalam membantu mangsa tsunami di Thailand, menerangkan kenapa rumah tumpangan di Nepal tiada pelanggan dan kenapa lampu berhenti di Brazil tidak dihiraukan. Dalam perjalanan, dia bertemu dengan ramai backpacker yang rata-ratanya turut meninggalkan karier mereka untuk mengembara. Satu perkara yang dia temui semasa pengembaraan adalah, "As we delve more into the idea of buying the Round The World or RTW ticket, it becomes clear that it’s not about being lucky; it’s about the attitude to actually do it...".

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...