Saturday, 10 July 2010

Kisah menyedihkan di sebalik Angkor Wat yang menakjubkan!

Siem Reap, Kemboja memang tidak asing lagi di mata dunia. Memiliki antara warisan dunia menakjubkan, Angkor Wat, namun Siem Reap menyimpan banyak kisah duka. Ikuti kisah pengembaraan kami selama 4 hari 3 malam di sana...

Hari Pertama (7 Februari 2010)

Kapal terbang kami mula bertolak dari LCCT pada jam 7 pagi. Penerbangan hanya mengambil masa satu jam sahaja sebelum tiba di Siem Reap.

Setibanya di lapangan terbang (Siem Reap Internation Airport), kami terus mengisi borang untuk memasuki negara Kemboja. Pelancong dari Malaysia tidak memerlukan visa untuk memasuki Kemboja, namun bagi sesetengah negara yang dikenakan visa kemasukan, bayaran sebanyak USD20 dikenakan. Selepas melalui pemeriksaan keselamatan, pegawai bertugas menyerahkan pas kemasukan kepada kami.

Pegawai di sana suka tengok orang Malaysia datang, kami pun tak tau sebab apa. Semasa di kaunter untuk mengisi borang kemasukan, pegawai-pegawai di sana memang serius habis, macam nak makan orang kalau berurusan dengan mat saleh. Tapi kalau dengan orang Asia, mereka mesra sangat.

Di luar lapangan terbang, sudah ada tuk-tuk yang menanti dengan poster tertulis nama kami sebesar-besarnya. Tuk-tuk tersebut termasuk dalam pakej penginapan yang kami tempah di Mekong Guesthouse. Perjalanan ke Guesthouse mengambil masa lebih kurang 30 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap. Sepanjang perjalanan, kami mencuci mata dengan melihat pemandangan sekitar. Jalan raya di Siem Reap dipenuhi penunggang motorsikal dan tuk-tuk. Tidak ramai yang berkereta.

Kami tiba di Mekong Guesthouse pada jam 10 pagi waktu Kemboja (waktu di sini beza 1 jam dengan waktu di Malaysia) Keadaan bilik di sini memang menarik. Kami sangat berpuas hati. Harganya juga berpatutan, hanya RM30 untuk satu malam. Jadi jumlah kesemuanya RM90 untuk 3 malam kami menginap di sini. Tapi segala urusan pembayaran hanya boleh dibuat dengan matawang USD sahaja.

Sekitar jam 5 petang, kami menaiki tuk-tuk dengan tambang sebanyak USD5 untuk pergi ke Bakheng Hill. Di puncak Bakheng Hill ini terletaknya sebuah kuil yang menjadi tumpuan pelancong untuk melihat suasana matahari terbenam. Kami hanya dihantar sehingga di bawah kaki bukit sahaja, untuk sampai ke puncak bukit kami perlu mendaki sendiri dengan berjalan kaki. Ada pilihan untuk menaiki kenderaan lain, iaitu gajah tetapi harga yang dikenakan adalah sebanyak USD20, memang mahal!. Tapi berjalan kaki pun tak rugi kerana hanya 15 minit sahaja perjalanan untuk sampai ke atas.

Sampai di puncak, sudah ada ratusan pelancong sedang berpusu-pusu menaiki tangga kuil untuk mencari kedudukan strategik melihat suasana matahari terbenam. Kami pun tak mahu membuang masa lagi dan terus menuju ke tangga utama.

Sebelum sempat menjejak kaki ke anak tangga, kami disapa oleh seorang lelaki Kemboja. Lelaki tersebut memberi salam dan boleh berbahasa melayu. Katanya, dia sudah mengagak bahawa kami adalah pelancong dari Malaysia kerana melihat kami bertudung. Lelaki tersebut memberitahu bahawa dia membawa sekumpulan kanak-kanak berusia lingkungan 9-12 tahun bagi tujuan yang sama. Mereka sangat teruja dan sempat bergambar dengan kami. Entah kenapa kehadiran kami sangat mengujakan mereka, hehe. Selesai bergambar, kami terus segera menaiki tangga untuk ke bahagian atas kuil, bimbang kalau terlepas suasana matahati terbenam.

Selesai menikmati pemandangan matahari terbenam, kami pulang semula ke rumah tumpangan untuk berehat seketika sebelum keluar semula pada jam 9 malam untuk membeli bahan makanan di sebuah pasaraya tidak jauh dari tempat kami menginap. Tidak sukar mencari makanan halal di dalam pasaraya ini kerana terdapat banyak produk dari Malaysia seperti Sardin Cap ayam, Mee Maggi, roti dan sebagainya. Makan malam pada hari pertama kami di sini ialah, sandwich buatan sendiri!.

Hari kedua (8 Februari 2010)

Selepas sarapan pagi di rumah tumpangan, kami terus menaiki tuk-tuk untuk ke Angkor Wat. Tambang ke sana dari tempat kami menginap adalah sebanyak USD12 dengan perjalanan mengambil masa 30 minit.

Di Angkor Wat, kami dikenakan bayaran sebanyak USD20 untuk pas masuk. Pegawai di sana macam dah tahu kami datang dari mana. “From Malaysia? Beautiful!”, kata salah seorang pegawai bertugas sambil melemparkan senyuman ketika kami membuat bayaran untuk pas masuk. Kembang kejap dada kami. Heh.

Sebelum melangkah masuk, kami terpegun melihat keindahan sungai yang menghiasi bahagian luar kuil angkor Wat. Terdapat juga sebuah tasik yang dipenuhi bunga teratai menjadikan pemandangan Angkor wat lebih menarik. Angkor Wat merupakan salah satu kuil terkenal di dataran Angkor. Berbanding kuil-kuil lain di sini, senibinanya sangat unik dan indah. Mengikut sejarah, Angkor Wat dibina oleh Raja Suryavarman II pada pertengahan abad ke 12. Pembinaan Angkor Wat memakan masa selama 30 tahun. Ia merupakan bangunan keagamaan yang terbesar di dunia dan juga merupakan satu hasil binaan tunggal yang terbesar di Asia Tenggara.

Cuaca panas tidak menghalang kami untuk terus menikmati seni ukiran pada setiap dinding dan pintu yang ada pada setiap kuil yang kami kunjungi. Terdapat struktur-struktur kuil yang sebahagiannya sudah rosak dan musnah. Patung-patung buddha yang masih terdapat di dalam kuil pula kebanyakannya tidak berkepala. Kemungkinan besar kepala-kepala patung buddha tersebut dicuri untuk dijual di pasaran gelap.

Terdapat sebuah dinding utama di dalam Angkor Wat yang menjadi tarikan utama pelancong di mana dinding tersebut penuh dengan ukiran yang menceritakan tentang peperangan zaman lampau. Antara kuil-kuil lama yang sempat kami singgah adalah Kuil Bayon di Angkor Thom, Kuil Chao Say Tevoda, dan Kuil Ta Phrom. Di Kuil Ta Phrom ini, kami dapat melihat dengan mata sendiri beberapa spesies pokok gergasi tumbuh menjalar di atas kuil seolah-olah mahu menelan kuil tersebut. Situasi ini sungguh menakjubkan dan menyedihkan. Menakjubkan kerana kami melihat kuasa alam semulajadi tetapi amat menyedihkan kerana pokok-pokok yang menjalar ini menjadi punca kerosakkan struktur asal kuil-kuil ini.

Di perkarangan setiap kuil pula pasti ada kanak-kanak tempatan yang menjual cenderahati dan memaksa pelancong untuk membeli barangan mereka. Tips membeli: kalau mereka meminta untuk membeli barang dengan harga USD1 seunit, jangan beli dahulu tapi cuba tawar harga. Ini kerana mereka boleh bagi 3 unit untuk USD1 sebenarnya. Dan jika kita bernasib baik, 4 unit barang pun boleh dapat. Antara barang yang dijual adalah ‘fridge magnet’, rantai kunci, seruling buluh dan macam-macam lagi.

Sekitar jam 2 petang, kami pulang ke rumah tumpangan dan berehat sehingga hari berikutnya.

Hari ketiga (9 Februari 2010)

Jam 7.30 pagi, kami bertolak ke tasik Tonle Sap. Tambang ke sana dengan menaiki tuk-tuk adalah sebanyak USD10. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 40 minit.

Tasik ini merupakan tasik terbesar di Asia Tenggara dan ia bersambung dengan sungai utama di Kemboja iaitu Sungai Mekong. Luasnya tasik ini seperti lautan sehingga kami tak nampak daratan di penghujungnya. Untuk sampai di tasik ini, kami perlu melalui sebuah kawasan perkampungan. Kehidupan masyarakat di sini sangat daif.



Tiba di jeti, kami dikenakan bayaran sebanyak USD20 untuk tambang bot dan USD2 dari setiap sorang sebagai tip untuk diberikan kepada penjaga jeti. Yang peliknya, orang tempatan di sini tak mahu menerima matawang mereka sendiri. Mereka hanya mahu USD sahaja.



Dari atas bot kami dapat lihat sebuah perkampungan atas air. Seperti perkampungan yang kami lalui sebelum ini, keadaannya juga sangat daif. Siap ada kandang khinzir lagi. Huh. Keadaan air tasik pula tak berapa elok, baunya busuk dan hanyir. Maklumlah kalau dah ada perkampungan atas air, mana lagi pergi bahan kumbahannya!



Pemdandu bot kemudiannya membawa kami ke sebuah penempatan anak yatim. Dia bertanya kalau kami hendak turun melawat dan jika kami bersetuju, dia akan membawa kami ke sebuah kedai runcit berdekatan untuk membeli sesuatu untu diberikan kepada anak-anak yatim di sana.

Ok, ini adalah sebagai panduan dan peringatan sahaja. Harga 15 keping buku tulis yang dijual adalah USD20 dan 20 batang pen adalah USD10 . Jika ditukar kepada matawang kita, jumlah adalah RM80! Kalau bawa duit banyak boleh la nak buat amal jariah, tapi kalau sebaliknya, lupakan saja niat baik anda tu. Lebih baik bagi saja wang tunai RM80 kepada anak-anak yatim tu dari mengahabiskan duit kepada kroni-kroni mereka yang cuba ‘menyedut’ duit-duit pelancong yang datang.

selepas kami berkunjung ke rumah anak yatim, kami di bawa ke sebuah kandang kecil yang dibina khusus untuk buaya. Buaya-buaya itu ditangkap, dikurung dan akan dibunuh untuk diambil kulitnya.



Semasa hendak pulang, pemandu bot tu meminta tip lagi. “Madam, we need to go to school”, katanya sambil mengajukan tangannya kepada dua orang kanak-kanak yang menjadi pembantunya. Tapi kami tahu, mereka memang tak pergi ke sekolah pun. Dia kata tak kisah nak bagi berapa pun, tapi yang diminta USD20! Duit Riel (matawang Kemboja) mereka tak mahu. Akhirnya, kami meninggalkan mereka ternganga tanpa memberi apa-apa. Puas hati!

Kami kemudian menaiki tuk-tuk untuk pergi ke Masjid Al-Nikmah, satu-satunya masjid yang ada di Siem Reap. Di sana kami jumpa penjaga masjid yang fasih berbahasa melayu, tapi dengan selanga orang Kelantan. Heh.

Berdekatan masjid tersebut ada sebuah restoran kepunyaan imam di situ. Kebetulan imam tiada pada hari itu, jadi tak berpeluang untuk kami merasa daging ‘lembu naik bukit’sebab restoran tersebut memang terkenal dengan masakan daging ‘lembu naik bukit’.

Kami pun beralih ke sebuah kedai nasi ayam. Kami sempat berborak dengan tuan punya kedai. Rupa-rupanya dia mempunyai keluarga di Terengganu dan sering ulang-alik ke sana. Kami kemudian meminta dia membungkuskan nasi ayam sebelum pulang ke tempat penginapan kami.

Hari keempat (10 Februari 2010)

Jam 9 pagi kami mendaftar keluar dari Mekong Guesthouse. Tuk-tuk kemudian membawa kami ke lapangan terbang sebab penerbangan kami jam 12 tengah hari. Semasa pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang, kami dikehendaki membayar cukai lapangan terbang sebanyak USD25.

Di sini kami telah berjumpa dengan orang Malaysia yang membuka restoran di Phnom Pehn. Kebetulan anak dia hendak pulang ke KL, penerbangan yang sama dengan kami.
Kami mengambil peluang untuk berborak dengannya. Menurut pemilik restoran D’Wau itu, kebanyakan rakyat Malaysia yang datang ke sini akan membelanjakan duit sampai habis sehingga takda duit untuk membayar cukai lapangan terbang dan mereka akan meminta bantuannya untuk meminjamkan wang dahulu dan akan membayarnya semula setelah pulang ke Malaysia nanti. Kami hanya tersenyum mendengar ceritanya.

Jam 12 tengah hari, kapal terbang kami meninggalkan Siem Riep dengan perasaan teruja untuk sampai ke Malaysia. Rasa bersyukur menjadi rakyat Malaysia yang berpeluang menikmati keselesaan dan arus pembangunan berbanding di Kemboja. Namun pengalaman yang dilalui sepanjang berada di sana pasti tak akan kami lupakan buat selamanya.


*Perbelanjaan:

1) Tiket penerbangan (KL-Siem Reap) pergai-balik : RM88 *** ‘Airasia Zero Fare promotion’, selalunya pada bulan April atau May setiap tahun.

2) Tuk-Tuk : USD25 untuk 3 hari

3)Mekong Guesthouse: USD30 termasuk sarapan pagi dan tuk-tuk untuk pergi dan balik ke lapangan terbang.

3) Pas masuk ke Angkor Wat: USD20 untuk sehari, USD40 untuk 3 hari.

4) Bayaran untuk bot di tasik Tonle Sap : USD20

5) Cukai lapangan terbang: USD25 ***, cukai ni dikenakan di Lapangan Terbang Siem Reap semasa kita nak pulang ke KL. Kebanyakan rakyat Malaysia yang datang ke sini tak tahu tentang cukai ini. Jadi anda perlu beringat supaya menyediakan duit lebih untuk membayar cukai tersebut.

9 comments:

  1. weh..brapa lama daa pigi baru update..hehe

    mas

    ReplyDelete
  2. jawab bg pihak sha: baru ada masa free la mas. =p

    ReplyDelete
  3. mas,ini aie haa manyak malas wooooo :P suruh update lama daaa..tp nak tunggu encik aie dpt mood punyalaaaaa lama :P ampon ye encik aie kekekke

    ReplyDelete
  4. aku punye blog pun dah bersawang..ekeke..baru nk start balik..mari rajin2 kan diri weh :)

    ReplyDelete
  5. ahh..korang nye blog bersawang.aku dah takde bahan bacaan,terpaksa sewa buku..kehkeh

    fatt-tula ko tido kt airport byk sgt.dah tak update lagi blog.hehe

    ReplyDelete
  6. fatt-blog kau kasi update la babe psl itu new zealand segala mala tu.berguna tu :)

    mas yg anonymous-kau rajin gila sewa buku.last aku sewa buku masa zmn sekolah rendah.itu pon pakai kad perpustakaan :P

    ReplyDelete
  7. saya nak pi jugak ke SIEM REAP, u ade tourist guide yang bagus tak,bagi kat saya email kat joikedaun@gmail.com

    ReplyDelete
  8. salam,
    sy travel ke siem reap tak guna tourist guide. sy book hotel je dan selebihnya sy cari info sendiri. tp kalau saudara baca trip ke Siem reap ni dah sgt membantu.takpe sy email saudara.

    ReplyDelete
  9. mula mula saya ingat apa lah lembu naik bukit tu..rupanya tempat masak tu macam bukit.hehe..tapi sangat sedap!!masakan kat Restoran tu memang mengancam kan.

    saya tak buat buat lagi entri ke Cambodia Desember tahun lepas..ada masa nanti saya akan buat jugak..:)

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...