Sunday, 23 January 2011

Bermain dengan kelah di Sungai Chiling

Aie & Sha di air terjun Sungai Chiling

Air terjun Sungai Chiling dikatakan antara air terjun tercantik di negeri Selangor. Terletak lebih kurang 21 km dari pekan Kuala Kubu Bharu, Sungai Chiling merupakan santuari ikan kelah di bawah jagaan jabatan perikanan.

Pemandangan di sepanjang perjalanan ke Sungai Chiling dari Kuala Kubu Bharu sangat memukau kerana anda akan melintasi sebuah tasik yang sangat luas yang dikenali sebagai Empangan Sungai Selangor. Pintu masuk Sungai Chiling terletak hanya beberapa meter sahaja dari sebuah jambatan kecil yang anda akan lalui selepas melintasi empangan tersebut.

Ketibaan kami di Sungai Chiling pada 15 Januari lalu disambut dengan hujan renyai. Terdetik di hati kalau cuaca terus tidak mengizinkan, adakah kami akan dibenarkan oleh staf jabatan perikanan untuk ke air terjun. Namun kami meneruskan juga niat asal kami untuk berkhemah semalaman di tapak perkhemahan Sungai Chiling.

Perjalanan dari pintu masuk ke tapak perkhemahan hanya mengambil masa 15 minit sahaja dengan berjalan kaki. Tiba di tapak perkhemahan, sudah ada beberapa kumpulan lain berada di sana, antaranya sebuah kumpulan dari Singapura. Untuk berkhemah di sini, sebanyak RM3 dikenakan setiap seorang untuk satu malam.

Tanpa melengahkan masa, kami terus mendirikan khemah dalam keadaan hujan masih renyai. Nasib menyebelahi kami apabila hujan berhenti tidak lama selepas itu. Oleh kerana kami tiba agak lewat iaitu pada jam 5.30 petang, kami terus membuat persiapan untuk BBQ sebaik sahaja khemah siap di pasang.

Pada jam 8 pagi keesokan harinya, kami bersiap-siap untuk 'treking' ke air terjun. Titi gantung berhampiran tapak perkhemahan merupakan lintasan sungai pertama dari enam lintasan kesemuanya yang harus dilalui.

Namun untuk lintasan sungai berikutnya, anda harus menyeberang tanpa titi gantung. Sepanjang perjalanan merentasi sungai, anda akan dapati beberapa kumpulan ikan kelah bermain melawan arus sungai. Itulah keistimewaan ikan kelah, walaupun arus deras, mereka lebih suka untuk melawan arus tersebut.

Perjalanan hanya mengambil masa lebih kurang sejam untuk tiba di air terjun. Memang benar seperti yang dikata ramai orang, air terjunnya sangat cantik, tinggi dan mempunyai kolam yang luas. Di sungai Chiling terdapat 3 air terjun kesemuanya. Namun air terjun pertama adalah yang paling tinggi.

Ketika kami tiba, air terjun tersebut masih belum dikunjungi orang lain pada hari itu. Jadi kami berpeluang mandi sepuas-puasnya dan meneroka keseluruhan air terjun tersebut. Selepas puas bermandi-manda, mengambil gambar dan bermain dengan ikan kelah, kami mengambil keputusan untuk pulang ke tapak perkhemahan.

Dalam perjalanan pulang, kami berselisih dengan beberapa kumpulan yang sedang menuju ke air terjun. Nasib kami agak baik, kalau kami lewat ke sana sudah tentu kami terpaksa berkongsi air terjun tersebut dengan orang lain. Pasti keseronokannya tidak berapa terasa.


Namun jika anda dapati ramai orang di air terjun tersebut ketika anda datang berkunjung, anda boleh memilih dua lagi air terjun di atasnya. Di sana suasana lebih tenang dan sunyi kerana orang ramai lebih tertumpu di air terjun pertama.

Tiba di tapak perkhemahan, kami terus menurunkan khemah dan bersiap sedia untu pulang. Sungai Chiling pasti kami akan kunjungi lagi, kalau tidak ke air terjun pun, mungkin hanya untuk berkhemah semalam dua di sana yang menjanjikan kepuasan dan ketenangan yang tiada di bandar.

7 comments:

  1. xtau plak ade 2 lg air terjun
    huhu

    ok nntikan entri air terjun chiling dr ak plak

    ReplyDelete
  2. bestnye..aku ingt ulu yam aje ada tmpt berkhelah...hahaha...ko pegi trekking ke camping ke ajak la aku. aku teringin nak rasa benda ni

    ReplyDelete
  3. aku suggestkan korang gi Sg Yong kat kluang. dkt kaki gunung belumut. cun, nak amik shot best.n tak ramai org tau pun ada air terjun kat situ.

    nak masuk kena jalan kaki atau naik motor, dalam 20min, lalu trek ladang kelapa sawit. kereta takleh lalu...boleh dulu tapi baru2 ni ada tanah runtuh ke org korek tak taule, takleh masuk dah keta.

    Mas

    ReplyDelete
  4. mangaih.. ada pertandingan posting airTerjun chiling ke??he2..

    ReplyDelete
  5. hmmm...tak pernah sampai ke sini & baru hari ni dapat tau ada air terjun secantik ni.

    ReplyDelete
  6. Al,
    ok2 aku tunggu.. hehe...

    fatt,
    ok nnt kitorang ajak...

    Mas,
    thanx Mas. insyaallah kitorang akan try pergi sana..

    Arai,
    haha.. bukan pertandingan la bro.. ;p

    oasis,
    so kena la pergi sana, exprerience sendiri...

    ReplyDelete
  7. Chantek! More interesting place...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...