Thursday, 24 March 2011

Lata Hammer, air terjun yang hilang!

Awal Mac lalu, kami dan beberapa kawan lain dari grup Anak Tupai Adventure Team (ATAT) telah menjejakkan kaki ke Air Terjun Sungai Perting atau lebih dikenali dengan Lata Hammer yang terletak di daerah Bentong, Pahang.

Lata Hammer memang cukup popular di kalangan penggemar aktiviti outdoor dan kaki-kaki pancing. Lokasinya yang agak sukar diakses, membuatkan tempat tersebut masih terpelihara di kalangan orang awam dan hanya di kunjungi orang-orang tertentu sahaja. Lata Hammer juga menyimpan sejarah hitam apabila pernah terjadi kemalangan mati lemas lebih kurang dua tahun lalu.

Dari KL, kami melalui Lebuhraya Karak sebelum mengambil susur keluar ke Bentong. Lebih kurang 16 kilometer perjalanan melalui jalan lama, kami mengambil simpang ke kanan menuju ke Lembah Perting (Perting Valley) dan mengambil masa selama 20 minit untuk sampai di perkarangan Kem Success Outdoor Solution (SOS). Di sini kami memarkir kereta dan bersiap sedia untuk treking ke Lata Hammer.

Cabaran pertama perjalanan adalah merentasi Sungai Perting. Walaupun tidak berapa dalam, tetapi arusnya agak deras. Pada saat ini, kerjasama sesama rakan adalah penting untuk memastikan kesemuanya selamat apabila melintas sungai tersebut. Kami kemudian menyusuri denai-denai tebal dengan laluan sempit sebelum menemui trek hutan yang lebih luas.

Lebih kurang 45 minit berjalan, akhirnya kami tiba di simpang ke Lata Hammer. Sebelum meneruskan perjalanan dengan menuruni lereng bukit yang agak curam, kami sempat meninjau-ninjau kalau-kalau ada pacat yang hinggap di kaki. Ternyata kehadiran kami disambut baik penghuni belantara tersebut apabila hampir kesemua dari kami dihinggapi pacat. Bukan seekor dua, tetapi hampir 4 hingga 5 ekor setiap seorang!

Selesai mencabut pacat dari kaki, kami meneruskan perjalanan dengan menuruni lereng tersebut. Hanya beberapa saat kemudian, maka terlihatlah kami dengan satu lagi kebesaran tuhan. Sebuah air terjun dengan kolam yang sangat besar, tersergam indah di hadapan kami! Keterujaan kami digambarkan seperti menemui sebuah air terjun yang hilang!

Untuk ke tapak perkhemahan, kami sekali lagi perlu melintas sungai tersebut tetapi kali ini dengan kemudahan titi kayu yang telah disediakan orang-orang terdahulu yang datang ke Lata Hammer. Namun kami masih perlu berhati-hati kerana titi tersebut hanya diperbuat dari 3 batang kayu yang diikat tanpa ada pemegang.

Terdapat banyak kawasan yang boleh didirikan khemah, namun kami memilih di kawasan paling hampir dengan kolam atau pool. Sebahagian dari kami memilih tapak perkhemahan yang lebih tinggi kerana khuatir air akan naik. Mujur kami adalah kumpulan pertama yang sampai di Lata Hammer pada hari itu, jadi kami berpeluang memilih lokasi yang strategik untuk mendirikan khemah dan khemah pusat (fly sheet dan ground sheet).

Memandangkan matahari mula kelihatan berada di tengah-tengah ruang atmosfera, kami pun segera menyiapkan makanan tengah hari. Menunya ringkas sahaja, nasi, sardin, ayam masak lada hitam dan telur dadar.

Selesai makan kami berehat sebentar sebelum meneruskan misi utama ke Lata Hammer, apa lagi kalau bukan mandi!

Peringatan, kawasan kolam paling hampir dengan air terjun adalah sangat dalam dan arusnya juga sangat deras. Jadi kami tidak menyarankan anda untuk pergi ke tengah-tengah, bermandi-manda di tepi-tepi kolam pun sudah cukup menyeronokkan. Seeloknya jika anda merancang untuk ke kawasan air terjun seperti di Lata Hammer ini, bawalah peralatan-peralatan keselamatan seperti tali dan jaket keselamatan.

Selain mandi, anda juga boleh memilih untuk membuat aktiviti lain seperti memancing. Sebuah kumpulan yang tiba kemudian selepas kami, datang hanya untuk memancing. Kata mereka, memburu ikan kelah adalah misi utama!

Lewat petang kami mula bersiap sedia untuk barbeque. Antara sajiannya adalah burung puyuh yang disumbangkan oleh Black, ayam dan kambing. Sambil berbarbeque, Sha menyediakan cucur ikan bilis dan teh o panas sebagai minum petang untuk disantap bersama-sama. Masa kemudian banyak dihabiskan dengan berbual-bual, bermain kad dan menikmati pemandangan indah dari limpahan cahaya bulan di permukaan kolam.

Keesokan harinya, kami bersarapan dengan spaghetti ayam dan teh o panas sebelum menyambung semula agenda semalam iaitu mandi-manda. Disebabkan tak tahan dengan kesejukan air di waktu pagi, kami hanya berendam selama setengah jam sahaja sebelum keluar dari kolam tersebut untuk mengeringkan badan seterusnya menurunkan khemah barang mengemas barang untuk pulang.

Setelah semua siap dan bersedia, kami pun bertolak keluar dari Lata Hammer. Tiba di perkarangan Kem SOS, kami terus bergegas untuk membersihkan diri di sungai yang terletak dalam kawasan kem tersebut. Ia memang dibuka kepada pungunjung-pengunjung yang datang ke Lata Hammer.

Siap dengan pakaian bersih, kami pun bergerak pulang dan meninggalkan Lata Hammer dengan seribu macam kenangan.

6 comments:

  1. bro, kt bentong ada juga satu lagi air terjun kan. Ape nama nyer tue..

    ReplyDelete
  2. kalau tak silap, air terjun chamang, berdekatan dgn bentong.. ;)

    ReplyDelete
  3. cantik betul air terjun ni. Tapi takut lah kalau tempat yg orang tak tau ni. Takut apa2 berlaku ssh...

    ReplyDelete
  4. tpt ni bukan org tak tau, cuma masih belum orang ramai masuk je... tak payah risau, tiap2 minggu tpt ni mesti dikunjungi orang....

    ReplyDelete
  5. Saya pun akui tmpt ni mmg cantik tp saya pergi sana sbb masa tu arwah adik lelaki saya mati lemas disitu (kemalangan mati lemas tu). X sangka gak ramai yg pergi mandi kat sana.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...