Thursday, 27 October 2011

4 cara menjadi pengembara, bukan pelancong!

Pengembara atau pelancong? Yang mana satu adalah anda?

Di sebuah kedai menjual cenderamata di dalam kawasan Muzium Altes, Berlin, muncul seorang pelancong dengan keadaan tergesa-gesa di kaunter bayaran.

"Maafkan saya, di mana saya boleh dapatkan buku yang saya lihat ramai di luar sana sedang memilikinya," tanya lelaki itu dalam bahasa Inggeris dengan nada yang agak tinggi kepada dua pembantu kedai di hadapannya. Yang perempuan sedang melayan pelanggan lain dan yang lelaki hanya diam sahaja.

"Oh kamu tidak berbahasa Inggeris. Ada sesiapa yang boleh berbahasa Inggeris?" tanya pelancong itu dengan tergesa-gesa.

Sebaik sahaja pembantu kedai perempuan selesai melayan pelanggannya, dia berpaling pula ke arah pelancong tadi, "Saya berbahasa Inggeris, ada apa-apa yang saya boleh bantu?".

"Saya cuma mahu buku yang semua orang di luar sana memilikinya. Mereka kata, buku itu boleh didapatkan di sini. Saya tiada masa untuk mencari, bas persiaran saya sedang menunggu di luar sana," katanya dengan sedikit angkuh.

Pembantu kedai tersebut tersenyum tawar. Dia kemudian menuju ke sebuah rak buku di satu sudut di dalam kedai itu dan kembali dengan tiga buah buku di tangannya.

Baru sahaja pembantu kedai itu hendak menerangkan tentang kandungan buku-buku tersebut, pelancong tadi terus memintasnya, "Tapi mana satu yang orang ramai beli?".

Belum pun sempat pembantu kedai itu menjawab, pelancong tadi memintas lagi, "Lupakan, saya tiada masa sekarang,". Pelancong itu kemudian berlari meninggalkan kedai tersebut.

Demikian situasi sebenar dialami penulis. Tindakan pelancong itu memang kurang sopan. Begitukah cara mereka melayan orang di tempat asal mereka.

Namun jika pelancong tadi adalah seorang pengembara, kejadian seperti itu pasti tidak akan berlaku. Seorang pengembara akan mendalami budaya sesebuah negara yang dikunjunginya, bukan setakat mengambil gambar dari dalam bas persiaran atau mendengar penerangan daripada pemandu pelancong. Seorang pengembara memiliki deria lebih daripada itu.

Satu lagi, jika pelancong tadi adalah pengembara, pasti dia tidak akan tergesa-gesa. Tiada bas persiaran yang sedang menunggu, pengembara bergerak atas kehendaknya sendiri.

Tip 1: Buat kajian sebelum berlepas

Penting untuk kita mempelajari perihal sesebuah negara atau tempat yang kita mahu kunjungi. Apakah bahasa yang digunakan? Apakah perkara yang boleh menyentuh sensitiviti orang-orang di sana? Adakah mereka bangsa yang

Sebenarnya hal-hal ini adalah bahagian terbaik dalam pengembaraan. Mempelajari budaya, mempelajari sejarah mereka, bukankah itu perkara yang menarik? Dan sebagai seorang pengembara, anda harus ada perasaan itu.

Tiada alasan untuk anda tidak membuat kajian. Dengan adanya internet, dunia kini tiada lagi sempadan. Selain mendapatkan maklumat daripada alam maya, anda juga boleh mendapatkannya di dalam buku dan majalah.

Terpulang pada minat anda. Sumber juga boleh didapati melalui novel-novel pengembaraan atau biografi tokoh-tokoh dari sesebuah negara. Kita juga boleh mempelajari melalui muzik dan filem mereka.

Beberapa perkara yang perlu anda tahu adalah; struktur geografi, mata wang, bahasa dan dialek, ibu negara dan bandar utama, tempat-tempat menarik dan mungkin bahaya-bahaya biasa berlaku.

Namun begitu tidak semua yang perlu anda ambil tahu. Saya sendiri lebih suka mencari sesuatu yang baru tanpa perlu bertanya, perjalanan menjadi lebih mencabar dan saya berasa lebih puas.

Tip 2: Kenapa tergesa-gesa?

Elakkan situasi seperti ini; ''Saya harus melihat X, Y dan Z hari ini juga kerana saya mungkin tidak akan kembali ke bandar ini lagi".

Jika anda tergesa-gesa seperti situasi di atas, bukan sahaja satu, anda mungkin akan terlepas untuk melihat ketiga-tiganya sekali. Namun kenapa perlu bertindak demikian? Cukupkah sekadar mengambil gambar di tempat tersebut dan kemudian terus beralih ke tempat lain.

Kalau pelancong memang saya tidak hairan, kerana mereka melancong memang untuk bergambar kerana itu sahaja bukti kukuh untuk diceritakan kepada kawan-kawan tentang percutiannya.

Namun sebagai seorang pengembara, anda tidak seharusnya mempunyai sikap begitu. Pengembara akan meluangkan lebih masa di sesuatu tempat. Bukan setakat untuk bergambar, tetapi menghayati dan menyelami suasana baru di tempat asing.

Penting bagi seorang pengembara untuk merancang perjalanan, tertutama untuk trip yang pendek. Tak perlu terlalu terperinci. Kalau terlalu terperinci pun hilang pula cabarannya. Cuma sediakan jadual secara kasar untuk memastikan menjadikan perjalanan lebih teratur.

Tiada peraturan khusus dalam pengembaraan. Sebagai contoh, jika anda ke Paris, anda tidak semestinya perlu ke Menara Eiffel. Apabila ada orang bertanya tentangnya selepas anda sudah pulang ke rumah nanti, tak kira apa pun kata mereka, ia bukanlah menjadi masalah besar. Anda boleh menjawab, "Tidak, saya meluangkan lebih masa di Muzium Picasso. Dia seorang artis yang hebat". Jika disebabkan jawapan itu rakan anda merasakan pengalaman anda kurang menarik, cari rakan lain yang sesuai untuk berkongsi pengalaman pengembaraan anda.

Tip 3: Orang asing pun orang juga!

Semasa di tempat orang, berusahalah untuk bermesra dengan orang tempatan. Jangan lihat mereka seperti melihat makhluk asing atau objek-objek yang dipamerkan di dalam sangkar kaca. Jangan hanya kerana mereka tiada iPod atau komputer, kita memandang rendah terhadap mereka. Sebagai seorang pengembara sejati, anda perlu mempunyai tanggapan bahawa mereka juga sama seperti orang-orang lain di seluruh dunia.

Belajar serba sedikit tentang bahasa tempatan adalah sebahagian perkara penting untuk bermesra dengan mereka, walaupun hanya beberapa perkataan. Jika perlu, anda boleh bawa kamus bahasa tempatan bersama anda. Buku nota dan pen juga berkesan untuk berkomunikasi dengan mereka.

Tip 4: Jadi orang tempatan

Sebagai seorang pengembara, anda tidak sepatutnya ke restoran-restoran makanan segera seperti yang ada tempat anda. Cubalah ke restoran atau kedai makan yang menjual makanan tempatan, ini juga salah satu cara untuk mempelajari sesuatu budaya masyarakat di tempat kita kunjungi.

Begitu juga dengan penginapan, kenapa perlu cari hotel tiga bintang kalau ada rumah tumpangan yang menawarkan suasana masyarakat tempatan dengan seni bina dan dekorasinya. Malah kosnya juga lebih murah. Kaedah lain adalah 'hospitality exchange' dan cara ini lebih baik. Anda buat kawan dengan penduduk tempatan, dan tinggal bersama mereka untuk beberapa hari. Perkara sama anda tawarkan kepada mereka jika mereka datang ke tempat anda.


Diterjemah dan diolah daripada artikel Amanda Kendle, penulis blog travel dari Australia.


2 comments:

  1. pengembara = pelajar realiti kehidupan (kot..) he2..

    ReplyDelete
  2. dunia ini adalah universiti kehidupan. ;)

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...