Friday, 27 May 2011

Blog diminta promosi pelancongan negara

KANGAR - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallullail mencadangkan agar penulis blog membantu mempromosikan industri pelancongan negara dengan memperkenalkan keistimewaan yang terdapat di Malaysia ke mata dunia daripada hanya menghasilkan bahan sensasi semata-mata.

"Saya puji beberapa rakyat Malaysia di luar negara yang aktif mempromosikan negara, walaupun ada antaranya sudah lebih 30 atau 40 tahun berada di sana," titah baginda di Istana Arau selepas menyaksikan artikel mengenai keunikan Orang Utan dan kelapa sawit Malaysia yang dipaparkan oleh majalah antarabangsa. -Bernama

-------------------------

Justeru itu, sebagai rakyat Malaysia yang juga penulis blog tentang pengembaraan atau pelancongan, kami ingin mengajak rakan-rakan blogger lain untuk menyambut seruan Raja Muda Perlis bagi mempromosikan bersama produk-produk pelancongan negara kita.

Mengembara atau melancong tidak semestinya perlu ke luar negara, di dalam negara kita sendiri mempunyai banyak tempat-tempat yang bernilai dan berbaloi untuk dikunjungi. Kenali dahulu tanah air kita, ibu pertiwi kita, wajah kita, identiti kita, kemudian keluarlah dan canangkan kepada seluruh dunia tentang keistimewaan yang kita miliki.

Bukan tak ada blogger-blogger kita yang menulis tentang dunia traveling, tetapi mereka lebih gemar mempromosikan negara luar berbanding negara sendiri. Bagi sesetangah blogger pula, mengembara di negara asing lebih memberi kepuasan kerana ianya dapat membeli persepsi rakan-rakan atau pembaca-pembaca. Jadi untuk apa kita mengembara, mahu menambah ilmu dengan melihat dunia atau hanya untuk memuaskan hati kerana dapat mengujakan rakan-rakan?

Tak salah mengagumi negara-negara luar yang ternyata memiliki lebih banyak keistimewaan. Cuma jika kita terlebih dahulu meneroka negara sendiri, pasti kita akan berbangga dengan apa yang kita miliki dan menjadi tugas kita untuk membantu kerajaan dalam mempromosikannya pula.

Ayuh, mulai sekarang kita (blogger) main peranan sebagai pembantu dan penggerak dalam merancakkan lagi industri pelancongan negara kita!

Wednesday, 25 May 2011

Kata mutiara dari Imam Syafie



Orang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang

Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti dari kerabat dan kawan
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup akan terasa setelah lelah berjuang

Aku melihat air menjadi rosak kerana diam tertahan
Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak kan keruh menggenang

Singa jika tak tinggalkan sarang tak akan dapat mangsa
Anak panah jika tak tinggalkan busur tak akan kena sasaran
Jika matahari di orbitnya tidak bergerak dan terus diam
Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang
Biji emas bagaikan tanah biasa sebelum digali dari tambang
Kayu gaharu tak ubahnya seperti kayu biasa jika didalam hutan.



Dipetik dari novel 'Negeri 5 Menara' yang ditulis oleh penulis Indonesia, A.Fuadi.

Thursday, 19 May 2011

10 peradaban yang musnah dan ditemukan semula

Dunia kita menyimpan sejarah yang begitu unik untuk diterokai. Berabad-abad tahun dahulu, telah wujud pelbagai kerajaan atau peradaban yang mahsyur di muka bumi. Peradaban-peradaban tersebut sebelum ini hilang tanpa diketahui asal-usulnya, namun ia ditemukan semula dan menjadi khzanah berharga dunia.

Penemuan semula peradaban-peradaban ini membuatkan kita menjadi lebih menghargai masa-masa lalu. Setiap kejadian memberikan kita pengajaran tertentu, dan disebalik kejadian tersebut terletak hikmahnya yang perlu kita terokai. Penemuan semula peradaban-peradaban ini mungkin sebagai petunjuk dari tuhan yang menginginkan kita kembali semula mengingati-NYA.

Di bawah adalah senarai 10 peradaban dunia yang musnah dan ditemukan semula. Kesan-kesan peradaban ini masih wujud dan buat mereka yang meminati sejarah, destinasi-destinasi berkenaan amat sesuai dikunjungi.


1. Machu Picchu (Peru)

Machu Picchu (Gunung Tua adalah sebuah lokasi runtuhan Inca pra-Columbus yang terletak di wilayah pergunungan pada ketinggian sekitar 2,350 meter. Machu Picchu berada di atas lembah Urubamba di Peru, sekitar 70 kilometer ke barat laut Cusco.

Merupakan simbol kerajaan Inka yang terkenal, Machu Picchu dibangunkan pada sekitar tahun 1450, tetapi ditinggalkan seratus tahun kemudian ketika bangsa Sepanyol berjaya menakluki kerajaan Inka.

Tapak bersejarah ini telah dilupakan oleh masyarakat dunia, tetapi tidak oleh masyarakat tempatannya. Tapak ini kembali ditemukan oleh seorang ahli arkeologi dari Universiti Yale bernama Hiram Bingham III pada tahun 1911. Sejak itu Machu Picchu menjadi aset pelancongan berasaskan sejarah yang menarik bagi para pelancong tempatan mahu pun asing.

2. Angkor Wat (Kemboja)

Dibina oleh Raja Suryavarman pada pertengahan abad ke-12, Angkor Wat merupakan bangunan keagamaan terbesar di dunia pernah dibina. Binaan tunggal terbesar di Asia Tenggara ini juga terletak di dataran Angkor, Kemboja. Selain Angkor Wat, terdapat kuil-kuil lain dengan seni bina yang sangat indah di dataran Angkor.

Angkor wat berada dalam keadaan baik berbanding dengan kuil lain di dataran Angkor disebabkan telah ditukar menjadi kuil Buddha dan digunakan secara berterusan apabila kepercayaan Buddha menggantikan kepercayaan Hindu di Angkor pada abad ke-13. Kuil Angkor pernah dijajah Siam pada tahun 1431.

3. Mesir Purba (Mesir)

Zaman Purba Mesir merujuk kepada peradaban di hulu Lembah Nil yang menganjur dari selatan hingga ke Jebel, Barkal dan Napata, ke utara hingga ke Laut Mediterranian walaupun mempunyai saiz berbeza sepanjang sejarahnya sekitar 3200 SM hingga 332 SM dengan penaklukan oleh Alexander Agung.

Yang menarik tentang kisah Mesir Purba adalah pemerintahnya ketika itu iaitu Firaun. Firaun dianggap dewa, hubungan antara manusia dan para dewata. Piramid Agung Kufu (Great Pyramid of Giza) merupakan salah satu keajaiban dunia yang tertua dan yang masih diiktiraf, dibina pada zaman pemerintahan Firaun Kufu (firaun kedua dari dinasti keempat) sebagai makam mereka.

4. Petra (Jordan)

Petra adalah sebuah kota bersejarah dan tapak arkeologi yang terletak dalam kawasan pemerintahan Jordan di Ma'an. Petra merupakan satu hasil seni bina pemotongan batu dan sistem pembuluh air. Ia telah dibina kira-kira pada kurun ke-6 sebagai ibu kota bagi Nabatea.

Keajaiban seni binanya menjadikan Petra sebagai simbol utama bagi Jordan dan telah menarik jutaan pelancong ke sana. Petra terletak di cerun Gunung Hor dalam lembangan antara pergunungan yang membentuk sisi timur Arabah (Wadi Araba), lembah besar yang merentang dari Laut Mati ke Teluk Aqaba. Petra telah dipilih sebagai 'Tujuh Keajaiban Baru Dunia' pada tahun 2007 dan 'Tapak Warisan Dunia' sejak tahun 1985. Petra juga telah diumumkan oleh BBC (Perbadanan Penyiaran British) sebagai satu daripada '40 tempat yang harus anda lihat sebelum mati'.

5. Palmyra (Syria)

Palmyra dahulunya adalah sebuah kota penting di Syria. Dahulunya dikenali sebagai Tadmor (bandar tamar atau kurma), Palmyra mengecap kegemilangannya pada zaman pemerintahan Rom. Meskipun wujud sejak kurun 21 SM, ia hanya muncul sebagai kota terkenal pada kurun ke-2 Masihi, ketika pemerintahan Septimius Severus.

Kegemilangan Palmyra sebagai kota perdagangan terkenal dan pusat empayar Rom di rantau timur hancur pada awal penghujung kurun ke-3 Masihi. Ia disebabkan oleh gerakan pemberontakan terhadap kerajaan Rom oleh pemimpin dan rakyat tempatan Palmyra yang ketika itu dipimpin permaisuri Zenobia. Pada tahun 273, Maharaja Aurelian menghantar tentera untuk menghapuskan pemberontakan seterusnya menghancurkan kota Palmyra.

Antara tinggalan yang masih ada hingga kini iala 'Colonnade' atau barisan tiang gergasi yang merupakan sebahagian dari kuil Bel (the temple of Bel).

6. Pompeii (Itali)

Pompeii adalah sebuah bandar Rom yang musnah ditenggelamkan debu dan lava berdekatan kota Napoli yang sekarang berada di wilayah Campania, Itali. Bersama sebuah lagi kota iaitu Herculaneum, Pompeii binasa dan tenggelam sepenuhnya semasa bencana letusan Gunung Berapi Vesuvius yang berlarutan selama dua hari pada tahun 79 M.

Kedua kota tersebut ditemukan semula di dalam timbunan debu pada tahun 1738 (Herculaneum) dan 1748 (Pompeii). Paling menakjubkan apabila para arkeologi menemukan batu-batu barupa badan manusia dan setelah dikaji, mereka percaya batu-batu tersebut adalah manusia (penduduk Pompeii) yang terawet kerana diliputi lava.

7. Palenque (Mexico)

Palenque adalah kota peninggalan bersejarah suku Maya yang berlokasi di kaki gunung Tumbala, Chiapas, Mexico. Suku Maya dikenali sebagai bangsa yang hebat. Mereka banyak membuat penemuan menakjubkan yang tidak dijangkakan dapat dibuat oleh manusia ketika waktu itu. Antaranya adalah Kalendar Bangsa Maya yang sehingga saat ini diiktiraf sebagai kelandar kalendar yang paling tepat pernah ada di bumi. Malah kehebatan kaum Maya ini telah dikaitkan dengan kedatangan makhluk asing dan ia dikukuhkan lagi dengan penemuan ukiran-ukiran yang menunjukkan makhluk asing pernah tiba di Palenque.

Palenque dan kaum Maya musnah akibat serangan dan taklukan Sepanyol pada tahun 1517. Kota bersejarah ini tidak terlalu besar tetapi di dalamnya memiliki bangunan-bangunan, patung-patung dan ukiran-ukiran yang indah dibuat oleh suku Maya.

8. Ephesus (Turki)

Ephesus adalah kota kuno bagi kaum Pagan, kaum penyembah berhala. Kedatangan agama Kristian ke kota ini telah membinasakan kaum pagan sedikit demi sedikit. Malah kuil-kuil dan patung-patung mereka turut dimusnahkan.

Di Ephesus terdapat sebuah candi bernama Artemis. Candi ini dikatakan mempunyai panjang 115 meter dan lebar 55 meter. Hampir keseluruhan candi ini dilapisi marmar dan dikelilingi dengan tiang-tiang gergasi setinggi 18 meter. Candi dicatatkan sebagai binaan terunggul zaman purba dan ia musnah sepenuhnya selepas dibakar oleh Herostratus pada 21 Julai 356 SM.

Kemusnahan Ephesus secara keseluruhannya dikatakan disebabkan oleh gempa bumi yang dahsyat ketika itu. Namun kesahihan teori kemusnahan Ephesus masih belum dapat dipastikan dan ia masih menjadi tanda tanya.

9. Vijayanagar (India)

Vijayanagar adalah sebuah kerajaan India yang bermula sejak 1336 dan berakhir pada tahun 1660. Kerajaan ini terletak di Deccan, India Selatan. Vijayanagar dibangunkan oleh dinasti Sangama, Harihara beserta saudaranya Bukka Raya dan mencapai zaman kegemilangannya di bawah kepimpinan Krishnadevaraya (1509-1529).

Kerajaan Vijayanagar mula jatuh apabila diserang dan dijajah oleh kesultanan Deccan (Bidar, Bijapur, Golconda, Ahmednagar dan Berar) sehingga wilayah India Selatan berjaya dikuasai oleh orang-orang Islam dan membuatkan kota ini dilupakan.

10. Sanchi (India)

Sachi merupakan kompleks monumen yang menandakan zaman keemasan Buddha semasa kerajaan Asoka. Kalau sekarang Sanchi sama dengan stupa iaitu bangunan daripada batu yang berbentuk loceng, kuil atau tempat kediaman sami. Monumen Sanchi dibina sejak abad 3 SM sehingga abad ke-12. Monumen ini berisi ukiran-ukiran yang menceritakan tentang sejarah agama buddha. Stupa 1 merupakan stupa paling terkenal dan ia dibangunkan oleh Raja Mauryan.

Tuesday, 17 May 2011

5 destinasi wajib dikunjungi: Sarawak

1. Taman Negara Mulu
Terkenal dengan 'The Pinnacles' (Gunung Mulu) dan terletaknya 'Sarawak Chamber' iaitu ruang bawah tanah terbesar di dunia yang boleh menampung 40 buah kapal terbang Boeing 747.


2. Taman Negara Niah
Terletaknya gua batu kapur terbesar di dunia, Gua Niah yang menjadi tapak arkeologi terpenting berikutan penemuan tinggalan manusia moden tertua di Asia Tenggara.


3. Taman Negara Bako
Tarikan utama di sini ialah teluknya yang terlindung serta tanjung berbatu dengan tebing curam yang mengagumkan berhadapan dengan Laut China Selatan.


4. Kampung Budaya Sarawak
Dengan satu kunjungan anda dapat melihat kepelbagaian budaya dan warisan etnik yang terdapat di Sarawak.


5. Muzium Sarawak
Kenali Sarawak dengan lebih dekat melalui masa silamnya di sini.


Monday, 16 May 2011

5 destinasi wajib dikunjungi: Sabah

1. Taman Kinabalu / Gunung Kinabalu
Taman Kinabalu menyimpan pelbagai spesis flora dan fauna serta menjadi laluan utama pendaki ke puncak gunung tertinggi di Malaysia, Gunung Kinabalu.


2. Lembangan Maliau (Maliau Basin)
Digelar sebagai 'The Lost World of Sabah', Lembangan Maliau merupakan hutan dara luas yang masih terpelihara serta terdapat sebuah air terjun yang sangat memukau pandangan, Air Terjun Maliau.


3. Pulau Sipadan
Merupakan syurga bagi aktiviti selam skuba dan snorkeling dengan pelbagai hidupan laut yang mempersonakan.


4. Kampung Budaya Monsopiad
Dekati kehidupan dan budaya etnik di Sabah yang suatu ketika dahulu terkenal dengan pahlawan 'head hunter' atau pemburu kepala.


5. Pasar Kraftangan (Pasar Filipina) Kota Kinabalu
Terdapat pelbagai produk kraf dijual di sini untuk dibawa pulang dan tidak sah jika tidak berkunjung ke sini apabila berada di Sabah.

Wednesday, 4 May 2011

Travel ala backpacker

Bagi mereka yang ingin mencapai kekayaan dalam pengalaman dan pengetahuan tetapi melibatkan kos yang rendah, travel gaya 'backpacker' adalah saranannya.

Backpaker (dari kata asal 'backpack' yang bermaksud beg galas) adalah 'pelancong dengan beg galas' telah menjadi gaya baru (tidak terlalu baru sebenarnya, tapi masih belum meluas dan difahami sepenuhnya) oleh para pengembara seluruh dunia.

Backpack menjadi identiti kepada para backpacker yang travel secara independen tanpa menggunakan khidmat agen pelancongan, hanya melalui kajian sendiri menerusi buku atau sumber dari internet. Perinsip utama dalam travel secara backpacker adalah mengutamakan kos yang seminimum mungkin disamping mempunyai semangat 'survival' yang tinggi dan berani.

Walaupun tiada jaminan keselesaan semasa travel, namun apa yang penting bagi backpacker adalah mendapatkan pengalaman yang sangat berharga dengan menyelami kehidupan lokal di tempat yang dituju. Berikut adalah tip-tip untuk travel secara backpacker:

1. Backpack
Mengembara sebagai backpacker menggunakan backpack, bukan beg yang ditarik atau beg yang dibimbit kerana backpacker akan lebih banyak berjalan kaki di sepanjang perjalanan ke destinasi yang dituju dan dengan backpack perjalanan akan menjadi lebih mudah dan lancar. Terdapat pelbagai ukuran

untuk backpack, kebiasaannya yang
digunakan adalah 40 hingga 70 liter. Ia bergantung kepada tempoh perjalanan, lagi panjang perjalanannya lagi besarlah kapasiti backpack yang perlu dibawa. Ukuran backpack juga harus disesuaikan dengan saiz tubuh badan agar ia tidak mengganggu sistem postur badan pengguna. Cara menyusun backpack pula mempunyai seninya tersendiri. Bagaimana harus mengatur semua barang-barang keperluan di dalam backpack dan meninggalkan sedikit ruang untuk menyimpan cenderamata-cenderamata kecil sebagai buah tangan untuk di bawa pulang ke tanah air. Terdapat pelbagai jenama dengan reka bentuk masing-masing, terpulang kepada pilahan kita. Berghaus, Karrimor, Lowe Alpine, Marmot, Mammut, Deuter, Jack Wolfskin, The North Face antara nama-nama besar dalam pengeluar backpack.

2. Penginapan
Lupakan hotel 3 bintang, 4 bintang mahupun 5 bintang. Para backpacker harus rela menukar kemewahan dan keselesaan menginap di hotel-hotel tersebut dengan menginap di hotel-hotel bajet, rumah tumpangan ataupun

hostel. Sebagai seorang backpacker, tujuan pengembaraan yang sebenar adalah untuk menyelami kehidupan setempat atau lokal di tempat-tempat yang dituju. Tempat menginap hanyalah tempat untuk menyimpan barang dan tidur. Malah di rumah-rumah tumpangan anda akan dapat berkenalan dengan backpacker-backpacker dari negara-negara lain. Dan jika anda bertuah, selain saling bertukar pengalaman, anda mungkin juga dijemput untuk mengembara bersama mereka. Satu lagi cara yang dianggap paling bijak adalah dengan menggunakan kemudahan organisasi 'hospitality exchange' kerana jika anda bertuah, anda akan mendapat penginapan percuma disamping kenalan baru di tempat yang anda tuju.
Organisasi 'hospitality exchange' adalah komuniti backpacker dari seluruh dunia yang saling berinteraksi melalui jaringan internet untuk bertukar-tukar pendapat di samping bersedia untuk membantu rakan-rakan backpacker yang berkunjung ke negera mereka seperti menyediakan kemudahan tempat tinggal. Hal ini akan berterusan jika kita berkunjung ke tempat mereka pula maka sebab itu ia digelar 'hospitality exchange'. Caranya mudah, hanya dengan menyertai organisasi-organisasi 'hospitality exchange' ini dan mula mencari rakan di negara-negara pilihan anda. Antara organisasi 'hospitality exchange' yang cukup dikenali di kalangan backpacker seluruh dunia adalah www.hospitalityclub.org dan www.couchsurfing.org.

3. Tiket penerbangan
Dengan adanya syarikat penerbangan kos rendah seperti Air Asia dan Tiger Airways, kini semua orang berpeluang terbang merentasi laut dan menjadikan perbelanjaan traveling lebih terjangkau. Adakalanya penerbangan premium seperti MAS, Singapore Airlines, Emirates, KLM atau Lufthansa juga menawarkan tiket-tiket promo dengan harga yang murah namun anda perlu rajin mengunjungi laman web mereka untuk mengintai-ngintai tiket promo tersebut. Kebiasaannya kita akan mendapat tiket murah jika dibeli 2 bulan sebelum berangkat, jika anda membeli tiket seminggu sebelumnya sama sahaja jika anda membeli dengan harga premium. Penerbangan pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad) adalah tidak digalakkan, cubalah cari penerbangan di hari-hari biasa seperti Isnin, Selasa dan Rabu. Penerbangan pada waktu awal pagi iaitu ketika subuh biasanya lebih murah dan jika anda mengambil penerbangan yang tiba pada waktu malam pula, lapangan terbang boleh dijadikan tempat tidur atau mengambil bas terus ke tempat yang ingin dituju dan bermalam di dalamnya dan hal ini dapat membantu mengurangkan kos penginapan. Tiket-tiket penerbangan murah juga boleh didapati di sini: www.kayak.com, www.cheapoair.com dan www.cheaptickets.com.

4. Merancang perjalanan

Penting bagi backpacker untuk merancang perjalanan ke tempat yang ingin dituju. Cara mudahadalah dengan membuat bacaan tentang catatan perjalanan orang-orang yang pernah mengunjungi tempat berkenaan. Pengalaman mereka boleh dijadikan sebagai panduan untuk menentukan apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak perlu dilakukan (Do & Don't) di sepanjang perjalanan. Selain itu, anda tidak perlu mengikut bulat-bulat aturcara perjalanan mereka, buatlah perjalanan sendiri mengikut bajet dan keperluan yang anda ada. Buku-buku travel seperti Lonely Planet, Nelles Guide dan sebagainya juga boleh dijadikan penduan dalam merencana sesebuah perjalanan. Jika berkunjung ke negara empat musim, perlu anda mengetahui musim apa yang sedang melanda di tempat tersebut agar segala persiapan untuk menempuh terutama musim sejuk dapat dibuat.

5. Persiapan perjalanan
Selain menyiapkan barangan peribadi seperti pakaian dan alatan mandian, perkara paling penting yang perlu didahulukan adalah dokumen perjalanan. Perjalanan akan menjadi lebih mudah dan selamat jika anda mempunyai beg kecil seperti beg gantung atau beg pinggang (pouch bag) untuk menyimpan tiket, beg duit, pasport dan sebagainya. Peta juga tidak kurang pentingnya. Peta boleh dicetak dari internet atau dibeli di kedai-kedai buku. Walaupun peta boleh didapati di tempat yang ingin dikunjungi, namun membawa sendiri dari awal adalah lebih baik. Perkara lain yang tidak boleh dilupakan ialah kamera. Alangkah ruginya jika tertinggal kamera apabila sudah sampai di tempat yang kita tuju, tiada gambar kenangan yang boleh dibawa pulang. 'Netbook' juga tidak kurang pentingnya dalam dunia traveling kini. Kadang-kadang situasi memerlukan kita untuk mencari semula maklumat menggunakan internet dan 'netbook' boleh menjadi penyelamat. Anda juga boleh menggunakan i-pad bagi menggantikan netbook. Selain itu, 'universal adapter' juga perlu dibawa bersama kerana setiap negara mempunyai soket yang berlainan. Ketiadaan 'universal adapter' akan menyebabkan kesukaran untuk mengecas bateri kamera, telefon bimbit dan 'netbook'. Sebagai langkah keselamatan, bawalah juga bersama ubat-ubatan terutama kepada mereka yang mempunyai penyakit. Perkara yang terakhir adalah mempersiapkan diri anda untuk berada dalam keadaan cergas. Menjadi seorang backpacker memerlukan kita mengerah tenaga yang banyak kerana perlu berjalan kaki dengan membawa beg galas yang besar.


Nah, tak susah pun untuk travel secara backpacker kan? Tak perlu risau lagi tentang perbelanjaan yang tinggi dan kini semua orang sudah mampu untuk travel. Travel tak semestinya ke luar negara, di dalam negara kita sendiri pun mempunyai banyak tempat yang boleh dikunjungi dan tidak salah untuk kita berpergian secara backpacker. Tanpa langkah pertama, tak mungkin perjalanan beribu batu akan bermula!

Selamat menjadi seorang backpacker!

5 destinasi wajib dikunjungi: Pahang

1. Cameron Highlands
Peluang menyaksikan panorama ladang teh yang menghijau sambil menghirup udara segar.


2. Genting Highlands
Sesuai dengan jolokan Kota Keriangan, Genting Highlands merupakan sebuah taman tema buat mereka yang menginginkan keseronokan dan keriangan.


3. Bukit Fraser
Satu lagi lokasi peraginan tanah tinggi untuk mereka yang ingin mencari ketenangan.


4. Kuala Gandah
Mengenali mamalia darat terbesar dengan lebih dekat di sini!


5. Pulau Tioman
Antara lokasi menyelam yang sering menjadi pilihan penyelam-penyelam.


Tuesday, 3 May 2011

Kampung Kuantan yang berkelip-kelip

Pada Cuti Hari Buruh lalu, kami dan beberapa teman rapat telah berkunjung ke Kuala Selangor. Destinasi utama kami adalah Kampung Kuantan yang terkenal dengan aset pelancongannya, Kelip-Kelip.

Menurut sumber, Kelip-kelip adalah sejenis serangga dari kumpulan kumbang. Nama serangga ini pula diperolehi dari keunikan ekornya yang boleh mengeluarkan kelipan cahaya. Fakta menarik tentang serangga ini adalah kelipan cahaya yang dikeluarkan oleh ekornya adalah serentak pada setiap masa iaitu pada kadar 3 kelipan sesaat. Bayangkan jika anda melihat ribuan Kelip-kelip, pasti anda terpegun dengan keindahan fenomena yang dihasilkan serangga tersebut.

Pokok Berembang yang tumbuh liar di tebing Sungai Selangor menjadi penyumbang utama kepada kewujudan serangga ini. Tumbuhan dari jenis pokok bakau ini menjadi habitat kepada Kelip-kelip dan daunnya merupakan sumber makanan kepada serangga ajaib tersebut.

Perjalanan dari Shah Alam ke Kampung Kuantan mengambil masa hampir satu setengah jam. Kami memarkir kereta di hadapan pintu masuk dan tempat letak kereta di sini adalah percuma. Kami tiba agak awal iaitu pada jam 7.15 malam, kaunter tiket hanya akan dibuka pada jam 7.45 malam dan operasi berakhir pada jam 10.30 malam.

Sementara menunggu kaunter tiket dibuka, kami berehat sebentar di sebuah gerai. Terdapat beberapa buah gerai makanan di sini serta kemudahan-kemudahan lain seperti taman permainan, tandas awam dan gerai cenderahati.

Tepat jam 7.45 malam kami terus beredar ke kaunter tiket. Tiket berharga RM10 untuk setiap seorang dan setiap sampan boleh dinaiki maksimum 4 orang sahaja dengan jaminan insurans. Sebelum menaiki sampan, kami diberi jaket keselamatan untuk dipakai sebagai langkah berjaga-jaga.

Kami dibawa menyeberangi sungai dan dari jauh lagi, kami sudah dapat melihat kelipan-kelipan cahaya yang terpancar dari pokok-pokok di sepanjang tebing sungai. Pemandangan yang sangat indah, berbeza sekali dengan hanya menonton di televisyen.

Pengemudi sampan membawa kami dengan lebih dekat sehingga kami dapat menyentuh daun-daun pokok (Berembang). Saat kami menyentuh daun pokok tersebut, sesekali kelip-kelip datang menghinggapi jari kami. Momen yang sangat menakjubkan.

Kami kemudian dibawa dari satu pokok ke satu pokok. Terdapat sebuah pokok yang kelihatan seperti pokok krismas dengan cahaya lampu yang menghiasinya. Keindahannya sukar diungkapkan, hanya perlu dirasai sendiri di sini.

Lebih kurang 20 minit menyusuri sungai, kami kemudian dibawa semula ke jeti untuk diturunkan. Walaupun terasa begitu singkat, namun kami berasa sangat puas dengan pengalaman yang diperolehi.

Dalam perjalan pulang ke Shah Alam, kami singgah pula di Jeram untuk menikmati hidangan ikan bakar dan ianya menjadi penutup episod percutian kami pada sambutan Hari Buruh.

Sunday, 1 May 2011

Menjelajah Eropah dengan EuroVac 2011

Konsep pelancongan menggunakan motorhome mungkin masih baru di kalangan rakyat Malaysia, namun pengembaraan jalan darat (road trip) dengan menaiki kenderaan rekreasi (RV) ini sebenarnya begitu popular di negara-negara barat.

Tidak perlu lagi menggunakan pengangkutan udara untuk merentasi sesebuah negara atau benua, kini dengan adanya motorhome, pengembaraan menjelajah dari satu negara ke negara yang lain menjanjikan pengalaman lebih menyeronokkan dan meninggalkan kesan mendalam buat mereka yang mengikuti sendiri trip tersebut.

Motorhome

Soal penginapan sudah tidak perlu dirisaukan, apatah lagi soal pengangkutan dan keselamatan. Motorhome menyediakan kemudahan lengkap seperti tempat tidur, dapur, tandas dan ruang rehat serta kemudahan elektrik sepanjang masa.

Pengembaraan menjadi lebih selesa dengan kemudahan pemandu untuk setiap motorhome selain soal jadual dan aturcara yang sudah disediakan pihak penganjur. Malah bahan mentah yang segar turut disediakan supaya peserta tidak perlu ke luar dari kabin untuk mencari makanan.

Bahagian dalam motorhome

Projek EuroVac 2011 anjuran syarikat pelancongan bumiputera, Narsqo Holidays Sdn. Bhd. dengan kerjasama syarikat Lite and Easy Vacation menawarkan peluang jelajah dengan Motorhome ke tujuh buah negara di Eropah bermula dari Jerman, Switzerland, Itali, Perancis, United Kingdom, Belgium dan Belanda selama 10 hari kepada rakyat Malaysia khususnya kepada mereka yang memang memasang impian untuk menakluk benua Eropah dalam masa yang singkat.

Setiap motorhome yang menempatkan sebanyak lima orang peserta akan menempuh perjalanan sejauh kira-kira 2,000 kilometer dengan pemanduan tidak melebihi 300 kilometer setiap hari.

Antara lokasi persinggahan sepanjang pengembaraan itu termasuk Menara Eiffel, Bandar Paris, Arc de Triomphe, Disneyland Paris, Selat Inggeris, Kota London, Jambatan London, Stadium Emirates dan Amsterdam.

Peta perjalanan Projek EuroVac 2011

Antara Laluan yang dijangka menarik perhatian setiap peserta adalah di Switzerland yang menyajikan pengalaman perkhemahan dengan berlatar belakangkan pemandangan kawasan pergunungan yang menakjubkan.

Pengembaraan pertama yang akan berlepas bermula 25 April hingga 5 Mei nanti ditawarkan pada harga RM13,500 termasuk tiket penerbangan, tambang feri menyeberangi Selat Inggeris, tambang masuk ke Disneyland dan banyak lagi tempat menarik.

Harga yang ditawarkan dikira berpatutan dan sangat menjimatkan berbanding dengan pakej-pakej pelancongan di Eropah yang adakalanya melibatkan sesebuah negara sahaja dan kebanyakan kos dihabiskan untuk bayaran pengangkutan dari satu destinasi ke satu destinasi.

EuroVac 2011 pasti akan merelisasikan impian anda untuk menjelajah Eropah dan menjanjikan pengalaman yang berbeza kerana berpeluang menyaksikan sendiri perbezaan peradaban dan tamadun dari sebuah negara ke negara lain.

Jika anda berminat, sila klik link di bawah untuk mengetahui keterangan lanjut dan membuat tempahan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...