Sunday, 4 March 2012

Trip pandu sendiri: Krabi - Pulau Phi Phi - Hatyai (bahagian 2)

Menyelak pintu khemah, wajah terus sahaja diterpa angin laut yang dingin. Masih awal pagi, namun kami segera bangun untuk mengerjakan solat Subuh. Suasana damai sekali ketika itu. Peluang melihat pemandangan laut sebaik sahaja bangun dari tidur memang sukar diperoleh. Tidak sia-sia kami menginap di 'resort' beratap dan berdindingkan kain kalis air di Pantai Nopparathara itu, berhadapan pula dengan resort Ayodhaya yang jauh lebih 'megah' dari resort kami.

Mengikut perjanjian dengan pihak agensi yang akan membawa kami menjelajah pulau (island hopping) pagi itu, kami perlu berkumpul di depan resort Ayodhaya pada pukul 8.30 pagi waktu tempatan. Beza waktu Malaysia dan Thailand, waktu di sana adalah satu jam lebih awal. Ini bermakna jika di sana pukul 8.30 pagi, di Malaysia pukul 9.30 pagi.

Masjid Ban Ao Nang
Hari masih terlalu awal. Selesai solat, kami pun menurunkan khemah dan menyimpan semua barang di dalam kereta sebelum mencari tempat untuk membersihkan diri. Oleh kerana tandas awam yang terletak dengan tapak perkhemahan kami masih belum dibuka, maka kami ke Masjid Ban Ao Nang yang terletak di tengah-tengah pekan Ao Nang.

Jika dilihat pada struktur binaan masjid tersebut, ianya masih belum sempurna. Rasanya hanya 80 peratus sahaja yang siap. Agak menyedihkan, walaupun pembinaannya sudah dimulakan sejak empat tahun lalu, namun kerja-kerja pembinaan terpaksa dihentikan disebabkan kekurangan bajet. Modal untuk membina masjid itu pula bukan datang dari kerajaan Thailand sebaliknya datang dari penduduk Muslim di Krabi sendiri.

Namun begitu, masjid tersebut tetap beroperasi. Bahagian dalamnya hampir sempurna dengan berlantaikan batu marmar tanpa dialas dengan sebarang karpet. Pintu masuk dan tingkapnya pula diperbuat daripada kayu jati. Terasa dingin apabila berada di dalam masjid tersebut.

Bantuan untuk menyempurnakan masjid itu masih ditagih. Jika anda ke Krabi, singgalah di masjid ini dan hulur sedikit bantuan. Insyaallah, sahamnya dibawa sampai ke akhirat.

Tandas berada di luar. Kami menumpang tandas di situ untuk membersihkan diri. Selesai membersihkan apa yang patut, kami kemudian mencari tempat untuk sarapan pagi.

Masih tidak banyak kedai makan yang dibuka ketika itu. Namun kami bernasib baik apabila terjumpa sebuah gerai menjual lempeng (pancake) yang baru sahaja memulakan operasinya. Lempeng di sini, kalau di Malaysia lebih kurang macam roti canai yang mempunyai pelbagai perisa tambahan seperti pisang, strawberry, coklat, dan sebagainya.

'Long tail boat'
Kami kemudian kembali semula ke pantai Nopparathara untuk menunggu wakil dari agensi yang akan membawa kami ke tempat menaiki bot. Tepat pukul 8.30 pagi waktu tempatan, sebuah trak pikap atau dalam  bahasa tempatan, 'songthaew' tiba dan kami di bawa ke tempat menunggu bot.

Pakej yang kami ambil menyediakan bot laju yang agak besar juga saiznya, boleh memuatkan lebih kurang 30 orang. Namun jika anda hendak merasai pengalaman menaiki perahu panjang (long tail boat) yang memang terkenal dan menjadi ikon di Krabi, anda boleh mendapatkannya dengan bertanya terus kepada pemilik-pemilik bot tersebut.

Pantai di Pulau Bamboo
Sebaik sahaja semua penumpang memenuhi bot, kami pun dibawa merentas samudera memasuki kawasan Lautan Andaman. Lebih kurang 45 minit perjalanan, kami tiba di destinasi pertama iaitu Pulau Bamboo (Koh Pai).

Pantai di sepanjang Pulau Bamboo begitu bersih sekali. Pasirnya putih dan air lautnya membiru kehijaun. Pulau ini hanya menjadi tempat persinggahan, tiada orang tinggal di pulau ini. Namun difahamkan, pengunjung boleh berkhemah di pulau tersebut yang menjadi kawasan di bawah jagaan Tentera Laut  Diraja Thailand. Selain tapak perkhemahan, kemudahan asas seperti tandas turut disediakan.

Pemandangan di dasar Hin Klang
Kami di Pulau bamboo tidak lama, hanya 30 minit diberi sebelum perlu berkumpul semula di dalam bot. Dengan masa yang terhad itu, sempatlah kami meninjau-ninjau persekitaran pulau dan bermandi-manda di pantai.

Selepas Pulau Bamboo, bot kami kemudian singgah di lokasi snorkeling pertama, Hin Klang. Hin Klang memang terkenal dengan pusat terumbu karangnya. Dengan air lautnya yang jernih, kami dapat melihat dengan jelas dari permukaan air segala yang ada di dasarnya. Namun menurut pemandu pelancong yang mengelola bot kami, dasarnya agak cetek dan kami diingatkan supaya berhati-hati agar tidak menendang terumbu karang apabila berada dalam air.

Ikan-ikan menyambar roti di Hin Klang
Semua penumpang dibekalkan dengan 'mask' dan 'buoyancy aid' (BA) atau jaket keselamatan. Namun kami tidak menyarung BA kerana menyukarkan kami untuk menyelam nanti. Selesai memastikan kesemua alatan dipakai dengan selamat, kami pun turun ke dalam laut dengan berhati-hati. Benar seperti apa yang diberitahu pemandu pelancong, dengan kedudukan badan yang vertikal, kaki kami dapat menyentuh terumbu karang.

Pemandangan di dalam Hin Klang cukup menakjubkan. Walaupun kami bukannya berada di dasar yang lebih dalam, tetapi pemandangan yang kami dapat lihat sudah cukup membuatkan kami berasa begitu teruja.

Peta Pulau Phi Phi
Rupa-rupanya, ramai yang tidak mengendahkan amaran yang diberi oleh pemandu pelancong. Apabila kami naik ke atas bot, kelihatan beberapa beberapa penumpang yang kakinya cedera akibat terpijak terumbu karang. Malah ada seorang wanita yang kakinya dicucuk duri-duri dari landak laut. Nasib baik pihak pengelola ada menyediakan kotak pertolongan cemas. Sementara, mereka merawat kaki-kaki pengunjung yang tercedera, bot pun bergerak ke destinasi seterusnya.

Kali ini barulah kami tiba di Pulau Phi Phi. Pulau Phi Phi seperti Pulau Perhentian juga. Ia dibahagikan kepada dua, Pulau Phi Phi Don (besar) dan Pulau Phi Phi Ley (kecil). Menurut pemandu pelancong kami, walaupun ada orang tinggal di Phi Phi Don, namun paling kerap dikunjungi adalah Phi Phi Ley kerana pemandangan di sana lebih cantik.

Di Phi Phi Don, bot kami melalui Yongkasem Bay atau lebih dikenali dengan Monkey Bay. Seperti gelarannya, memang terdapat banyak kera di pantai tersebut dan 'mereka' begitu mesra dengan pengunjung-pengunjung luar. Walaupun ada bot lain yang berhenti dan menurunkan penumpang-penumpangnya di situ, namun kami meneruskan perjalanan ke destinasi yang berikutnya.

Bot kami kemudian tiba di Wang Long Bay. Pemandangan di sini lebih indah apabila kami dihidangkan dengan tembok-tembok (atau tebing) batu yang besar di sekeliling kami. Menurut pemandu pelancong kami lagi, terdapat sebuah gua di dasar laut di situ yang dinamakan Gua Wang Long. Bagi penyelam skuba yang ingin menyelam di situ, anda boleh mendapat khidmat jurupandu daripada mana-mana kedai selam skuba sama ada di Pulau Phi Phi atau di Krabi.

Wong Long Bay
Selesai merakam beberapa gambar untuk dibawa pulang di Wang Long Bay, kami kemudian dibawa pula ke Tonsai Bay untuk sesi makan tengah hari. Setiap pakej yang diambil untuk jelajah pulau (island hopping) di Pulau Phi Phi memang disediakan dengan makan tengah hari sekali. Di Tonsai Bay, kami dibawa ke sebuah dewan makan yang besar dan apa yang menarik, kami tidak perlu risau tentang soal halal atau haram makanan di situ kerana semua pekerja dan tukang masaknya beragama Islam.

Destinasi berikutnya selepas makan tengah hari adalah Gua Viking yang terletak di Phi Phi Ley. Kami cuma dapat melihatnya dari atas bot kerana pengunjung-pengunjung luar memang tidak dibenarkan masuk ke dalam gua tersebut untuk mengelakkan gangguan di pusat pengumpulan sarang burung itu. Difahamkan, permintaan sarang-sarang burung dari gua itu begitu tinggi dan merupakan antara yang popular di dalam industri sarang burung.

Snorkeling di Loh Sama Bay
Selepas itu, kami dibawa pula ke Loh Sama Bay untuk aktiviti snorkeling yang berikutnya. Kali ini menurut pemandu pelancong kami, insiden seperti di Hin Klang tidak akan berlaku lagi kerana dasarnya lebih dalam. Tanpa melengahkan masa, kami pun memakai 'mask' dan terus terjun ke dalam laut. Benar seperti yang dikata. Bagaimanapun terumbu karang yang terdapat di situ masih boleh dilihat dengan jelas. Dan apa yang penting, pergerakan kami menjadi lebih bebas dan tidak perlu terlalu berhati-hati seperti di Hin Klang.

Maya Bay
Destinasi terakhir kami adalah Maya Bay, destinasi paling popular di Pulau Phi Phi. Pantai ini menjadi popular apabila ia menjadi lokasi dalam filem lakonan Leonardo Dicaprio, The Beach. Memang benar seperti yang dinyatakan dalam filem tersebut (paradise), Maya Bay seperti syurga dunia. Pasir pantainya begitu halus, pemandangannya begitu menakjubkan dan air lautnya yang jernih memukau pandangan.

Dua tebing besar (cliff) yang menjadi
pintu masuk ke Maya Bay
Namun agak hampa sedikit, orang terlalu ramai ketika itu. Tempat menjadi sesak dan tidak begitu menenangkan. Memang dah nasib kami, terpaksa berkongsi Maya Bay dengan entah berapa ramai pengunjung. Pemandu pelancong kami pula tidak memberi masa yang panjang untuk berada di situ kerana bot-bot lain pula akan masuk untuk mendarat. Jadi tip untuk mereka yang ingin ke sini, carilah waktu yang bukan musim kemuncak (peak season).

Selepas lebih kurang 30 minit di Maya Bay, kami pun di bawa pulang. Bot kali ini berlabuh di jeti pantai Nopparathara. Trip kami tamat pada lebih kurang pukul 5 petang. Dari sana, sudah ada 'songthaew' yang menanti untuk menghantar kami semula ke tempat penginapan masing-masing.

Ikutkan, harga pakej 1000 baht yang kami dapat untuk 'island hopping' di Pulau Phi Phi sangat berbaloi. Selain berpengalaman merakam detik-detik indah di Pulau Phi Phi, servis yang diberikannya juga sangat baik.

Selepas mendapatkan kereta, kami kembali semula ke jeti Nopparathara, tempat kami diturunkan tadi untuk membersihkan diri di tandas awam di sana. Tandas di situ percuma dan lebih selesa berbanding tandas awam di tempat kami bermalam semalam. Selesai menukar pakaian, kami pun segera menunaikan solat di tepi kereta.

Gerai makanan di Chao Fah Pier (jeti)
Kami kemudian ke Ao Nang. Kali ini kami berhajat untuk menyewa motosikal dan menunggangnya ke pekan Krabi. Sengaja kami berbuat demikian, hendak juga merasai pengalaman menunggang motosikal di sana. Sewa motosikal untuk satu hari bernilai 200 baht.

Di pekan Krabi, kami mencari makan di jeti (atau dermaga) Chao Fah. Di situ, banyak makanan halal boleh diperolehi dan ada sesetengah pemilik gerai boleh berbahasa Melayu. Harganya juga berpatutan walaupun makanannya tidaklah sesedap mana jika hendak dibandingkan dengan negara kita.

Di 'Krabi night market'
Selepas makan, kami ke pasar malam (Krabi night market) pula yang terletak di Jalan (Soi) Maharat 8. Pasar ini hanya dibuka pada hari Jumaat hingga Ahad bermula jam 5 petang hingga 10 malam. Macam-macam ada di situ. Lebih kurang macam pasar malam di Malaysia juga tetapi di situ, hasil-hasil seni buatan sendiri (D.I.Y) seperti rekaan baju T, lukisan, hasil kraftangan dan sebagainya boleh didapati dengan banyak sekali.

Habis pusing-pusing di pasar malam itu, kami kemudian balik ke Nopparathara untuk mendirikan khemah di sana. Lokasi kali ini berlainan dengan semalam, kali ini kami memilih lokasi yang terletak berhampiran dengan jeti Nopparathara kerana di sana ada tandas awam percuma yang dibuka setiap masa.

Tapak perkhemahan untuk malam itu lebih selesa, bersih dan menenangkan kerana ia terletak di hujung jalan. Selesai mendirikan khemah dan solat jama', kami pun terus masuk tidur bagi merehatkan badan yang telah seharian bekerja. Malam itu masih sama, 'resort' kami masih beratap dan berdindingkan kain kalis air, dan kami tetap berasa nyaman dan selesa.

Bersambung...

3 comments:

  1. Nampak macam best jer berkereta ke Krabi ni.. mesti penat giler. Tapi sure korang enjoy..
    Cantik view semasa island hoping tu

    ReplyDelete
  2. waaa...bestnye,,,bro leh bagi no phone or nama agensi tuk island hoping tk..pk nk pegi november nie...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...